Mahasiswa Perlu Responsif Segera Berdamai Dengan AUKU | Bahagian Hal Ehwal Pelajar
» ARTIKEL » Mahasiswa Perlu Responsif segera berdamai dengan AUKU

Mahasiswa Perlu Responsif segera berdamai dengan AUKU

 

 

Bibit penting mutakhir dalam kemelut pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 ialah kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan tidak wajar memansuhkan AUKU selepas mempertimbangkan beberapa peruntukannya masih relevan dan penting.

Penegasan Perdana Menteri itu dibuat pada sesi dialog bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) baru-baru ini. Namun, Perdana Menteri menjelaskan kerajaan sedia berunding dalam hal meminda beberapa peruntukan tertentu akta berkenaan.

Walaupun tidak memperincikan seksyen khusus dalam AUKU 1971 yang perlu diteliti semula, sehari sebelumnya Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjelaskan AUKU pada fasa akhir untuk dipinda dan bukan dimansuhkan.

Mohamed Khaled menyatakan cadangan pindaan Seksyen 15 dan 16 AUKU berkaitan mahasiswa akan dibentangkan di Parlimen paa tahun ini membabitkan aspek kebebasan mahasiswa dalam beberapa perkara, antaranya aktiviti, kewangan dan politik.

Menteri Pendidikan Tinggi sebelum ini memberi jaminan untuk menyerahkan kepada mahasiswa kebebasan menguruskan sendiri pilihan raya kampus, pengurusan dan pelaksanaan aktiviti pelajar, pengurusan kewangan aktiviti pelajar serta aktiviti politik dalam dan luar kampus.

Beberapa pertanyaan daripada mahasiswa ketika sesi dialog sebelum ini menggambarkan seolah-olah mereka meragui ketelusan KPT dalam isu pindaan AUKU dan ingin memanjangkan lagi isu ini supaya diadakan lagi sesi dialog dan perdebatan.

 

Terdapat juga mahasiswa mendesak supaya AUKU dimansuhkan dan bukan dipinda, tetapi kekhuatiran mereka tidak begitu konkrit dan tidak menjurus kepada pindaan terhadap kebebasan mahasiswa.

Mohamed Khaled bagaimanapun mengambil pendekatan untuk meneliti perkara berkaitan AUKU dibangkitkan pada sesi perjumpaan dan penerangan itu untuk memberi keadilan kepada semua pihak, terutama mahasiswa dalam melahirkan modal insan berilmu, berkemahiran dan beradab selari dengan konsep Malaysia MADANI.

Katanya, apabila pindaan dibuat, segala keputusan akan diserahkan kepada mahasiswa untuk mereka berbincang sesama mereka bagi langkah seterusnya.

Dalam AUKU terdapat 27 seksyen yang hanya dua seksyen (mengandungi 7 subseksyen) mempunyai peruntukan berkaitan pelajar.

Proses penambahbaikan lebih baik 

Dalam hal ini, pindaan dua seksyen AUKU adalah proses penambahbaikan yang lebih baik daripada terus memansuhkan kerana pindaan lebih sesuai dilaksanakan dengan perkembangan semasa.

Situasi dan tuntutan masa kini tidak sama seperti mahasiswa dekad terdahulu kerana kemajuan teknologi, globalisasi tanpa sempadan, amalan di universiti luar negara dan maklumat di hujung jari mendorong mahasiswa mengambil lebih tanggungjawab.

Ketika ini, ruang untuk perbincangan antara universiti dan mahasiswa amat perlu untuk memupuk nilai tanggungjawab, urus tadbir dan akauntabiliti melalui garis panduan tanpa perlu membebani KPT lagi selepas pindaan dibuat.

Pindaan AUKU amat menyokong pemerkasaan mahasiswa secara holistik dan membentuk mahasiswa lebih dinamik, progresif, beradab dan berkeperibadian unggul.

Tidak mustahil, menerusi pindaan ini nanti, tiada lagi isu mengenai kebebasan mahasiswa disekat dan mahasiswa perlu segera merancang sementara menanti kelulusan pindaan rang undang-undang AUKU.

Oleh kerana pelaksanaan aktiviti dan kewangan selepas ini akan ditentukan sendiri mahasiswa, mereka perlu bertanggungjawab, adil, amanah dan berintegriti.

Bermakna, mereka perlu melaksanakan siri bengkel strategik berkaitan pemerkasaan mahasiswa mulai sekarang untuk merancang prosedur pengurusan kelulusan aktiviti pelajar, pengurusan kewangan aktiviti pelajar dan prosedur kebebasan berpolitik berteraskan autonomi pelajar.

Dalam hal ini, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) Universiti Putra Malaysia (UPM) mengorak langkah awal menganjurkan Bengkel Pemerkasaan Mahasiswa fasa pertama baru-baru ini.

Bengkel dihadiri MPP, Persatuan Mahasiswa Fakulti dan Majlis Perwakilan Kolej UPM merancang ketetapan dan aspek pengurusan kelulusan aktiviti pelajar serta pengurusan kewangan aktiviti pelajar berteraskan autonomi pelajar, selain mendengar pandangan wakil pengurusan berkaitan.

Apabila autonomi pengurusan kewangan dipinda, masih perlu dirangka garis panduan untuk universiti melihat autonomi ini lebih telus dan tidak menimbulkan kontroversi akibat kecuaian.

Bagi memperkukuhkan tadbir urus pengurusan kewangan, penasihat dalam kalangan staf sewajarnya dilantik untuk membimbing mahasiswa dan bukan sebagai pembuat keputusan.

Bayangkan jika berlaku kelemahan tadbir urus kewangan akaun persatuan mahasiswa yang tidak mengikut tatacara sewajarnya mendapat teguran juruaudit kerana tidak melantik penasihat.

Menyentuh mengenai kebenaran ahli politik masuk ke dalam kampus, MPP dan ahli politik perlu memikirkan tanggungjawab keamanan dan keharmonian dalam kampus.

Bermakna, mahasiswa bertanggungjawab sepenuhnya bagi menentukan sikap dan tatacara mereka untuk mengekalkan Malaysia sebagai negara berbudaya diplomasi dan bukan kekerasan ketika berpolitik.

Pendekatan mahasiswa untuk bertoleransi dan berkolaborasi dengan pengurusan universiti adalah nilai penting untuk kebaikan mahasiswa sendiri. Justeru, pindaan ini diyakini menjadi langkah awal sebelum diikuti pindaan lain.

Apa yang utama, tiada keperluan menghapuskan AUKU sedangkan kerangka AUKU itu sempurna dan hanya perlu dipinda bagi memastikan ia mengikut kesesuaian semasa.

Pandangan yang melihat AUKU menyebabkan aktiviti mahasiswa menjadi tidak progresif hanya retorik dan persepsi kerana beberapa lagi peruntukan AUKU masih relevan apabila mahasiswa menghayati semula falsafah AUKU.

Justeru, mahasiswa seharusnya memahami dan 'berdamai' dengan AUKU kerana akta ini dan pindaan untuk memperkukuhkan kerangkanya tidak menjadi penghalang kepada agenda pemerkasaan mahasiswa.

Tanpa perbincangan dan garis panduan antara universiti dan mahasiswa, sejauh manakah pula autonomi setiap aktiviti mahasiswa akan menerapkan teras Malaysia MADANI?

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Putra Malaysia (UPM)

Tarikh Input: 12/04/2023 | Kemaskini: 12/04/2023 | azhar.mahdzir

PERKONGSIAN MEDIA

Bahagian Hal Ehwal Pelajar
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 6075
+603-9769 2091
SXETXAm~