PEMILIHAN MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR UPM (PMPPUPM) SESI 2024 PILIHAN RAYA KAMPUS UPM MENGGUNAKAN PUTRAVOTING | Bahagian Hal Ehwal Pelajar
» BERITA » PEMILIHAN MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR UPM (PMPPUPM) SESI 2024 PILIHAN RAYA KAMPUS UPM MENGGUNAKAN PUTRAVOTING

PEMILIHAN MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR UPM (PMPPUPM) SESI 2024 PILIHAN RAYA KAMPUS UPM MENGGUNAKAN PUTRAVOTING

 

SERDANG – Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Putra Malaysia (PMPPUPM) 2024 akan diadakan pada 21 Mac 2024 (Khamis) menggunakan aplikasi PutraVoting dan akan dilaksanakan secara atas talian sepenuhnya untuk memilih seramai 45 orang Ahli MPP.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu selaku Penasihat Majlis Tertinggi Jawatankuasa Pemilihan MPP berkata, Pilihan Raya Kampus atau Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar UPM Sesi 2024 akan menggunakan aplikasi PutraVoting yang dibangunkan khas oleh Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (iDEC), UPM.

“PutraVoting adalah transformasi Sistem Aplikasi e-Undi yang dinaiktaraf selaras dengan norma baharu iaitu pelaksanaan proses Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti secara atas talian” katanya.

Apa yang menariknya, keseluruhan proses Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Putra Malaysia (PMPPUPM) dilaksanakan sepenuhnya oleh Jawatankuasa Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (JPMPP) yang terdiri daripada pelajar UPM. Perkara ini membuktikan pihak Pengurusan Universiti sentiasa menyokong Agenda Pemerkasaan Mahasiswa yang yang menjadi salah satu fokus utama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Sesi pembuangan undi secara atas talian akan dibuka dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang dan dijangkakan Keputusan Tidak Rasmi diumumkan oleh JPMPP pada jam 6.30 petang. Keputusan Rasmi Pemilihan MPP UPM 2024 akan diumumkan secara atas talian melalui media sosial rasmi JPMPP pada 22 Mac, jam 6.00 petang setelah segala proses bantahan dan rayuan (sekiranya ada) selesai.

Prof. Dr. Arifin Abdu berkata sebanyak 15 fakulti dan 2 sekolah di UPM akan memilih dua orang calon mewakili kerusi bagi setiap fakulti/sekolah masing-masing (34 orang ahli keseluruhan) selain kerusi Umum sebanyak 11 ahli/kerusi menjadikan jumlah keseluruhan wakil 45 ahli/kerusi.

Setiap calon perlu mematuhi Peraturan–Peraturan Universiti Putra Malaysia (Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar) 2019.

 

   

Tarikh Input: 26/03/2024 | Kemaskini: 26/03/2024 | azhar.mahdzir

PERKONGSIAN MEDIA

Bahagian Hal Ehwal Pelajar
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 6075
+603-9769 2091
SXEbSAl~