UPM SAMBUT AMBANG MERDEKA KE-66 PENUH SEMANGAT | Student Affairs Division
» NEWS » UPM SAMBUT AMBANG MERDEKA KE-66 PENUH SEMANGAT

UPM SAMBUT AMBANG MERDEKA KE-66 PENUH SEMANGAT

 
SERDANG, 31 Ogos - Dewan Besar Pusat Kebudayaan & Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) dibanjiri warga kampus dan komuniti sekitar Serdang bagi meraikan kemerdekaan ke-66 dengan penuh semangat kecintaan pada tanah air dengan meriah, di sini, malam tadi. Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman meluahkan rasa gembiranya apabila melihat warga UPM begitu semangat hadir bersama ahli keluarga seawal 8 malam menyambut Ambang Merdeka ke-66.
 
"Saya teruja melihat dewan besar UPM hampir penuh dengan kehadiran warga kerja UPM dan pelajar-pelajar. Terima kasih semua yang datang memeriahkan dan memperingati detik paling bersejarah buat negara kita," katanya. Ambang Hari Kebangsaan 2023 di UPM disajikan dengan pelbagai program termasuklah persembahan nyanyian kemerdekaan, tayangan wayang kulit dan bacaan puisi bagi menyemai semangat patriotisme dan kecintaan terhadap tanah air.
 
Perarakan membawa Jalur Gemilang oleh Pusat Polis Bantuan dan Keselamatan Universiti (APSeC) menjadi tarikan utama pengunjung ditambah dengan kiraan detik tepat 12 tengah malam.
Laungan "Merdeka" sebanyak tujuh kali oleh Naib Canselor UPM disahut dengan penuh semangat oleh kesemua pengunjung yang mengisi Dewan Besar UPM diikuti nyanyian lagu Negaraku.
Sambutan diakhiri dengan bacaan ikrar Rukun Negara yang diketuai oleh Yang Dipertua (YDP) Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPM, Fatin Amirah Mohd Hisham dan nyanyian lagu patriotik Malaysia.

Date of Input: 19/09/2023 | Updated: 19/09/2023 | azhar.mahdzir

MEDIA SHARING

Student Affairs Division
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 6075
+603-9769 2091
SXEcGAG~