Teknologi 5G Selesaikan Isu Perubahan Iklim | Student Affairs Division
» ARTICLE » Teknologi 5G selesaikan isu perubahan iklim

Teknologi 5G selesaikan isu perubahan iklim

 

Apa kesan baik dan buruk teknologi ini? Dalam era kelestarian alam dan kesedaran tentang perubahan iklim, sejauh mana teknologi ini mampu mencapai hasrat itu?

Teknologi 5G diperkenalkan untuk menyelesaikan pelbagai had dan kekangan dalam teknologi jalur lebar mudah alih sedia ada. Tiga tunjang utama penambahbaikan yang dibawa oleh teknologi 5G adalah peningkatan kelajuan akses jalur lebar (Enhanced broadband), peningkatan komunikasi antara mesin (Enhance machine type communications) serta peningkatan kebolehpercayaan dan pengurangan kependaman dalam komunikasi (Ultra reliable and low latency communications).

Boleh jelaskan lanjut?

Maksudnya, teknologi 5G membolehkan akses jalur lebar yang lebih pantas dan pengenalan pelbagai jenis aplikasi pintar untuk membantu menyelesaikan masalah dalam industri dan komuniti. Dengan reka bentuk sistem dan rangkaian 5G yang lebih cekap dan pintar, penggunaan spektrum dan juga tenaga dalam rangkaian selular akan dioptimumkan. Selain itu, sistem dan aplikasi pintar yang disokong oleh rangkaian 5G dapat membantu

KELESTARIAN ALAM

Dalam keadaan banjir sekarang yang didorong faktor perubahan iklim, bolehkah teknologi 5G mainkan peranan?

Rangkaian 5G dengan sensor-sensor pintar bersaiz besar (massive IoT network) boleh membantu dalam pemantauan perubahan iklim dan membolehkan pihak berkaitan membuat kajian dan memberi respons yang lebih cepat dalam menyelesaikan isu-isu mengenai perubahan iklim seperti banjir, kebakaran hutan, pencemaran alam sekitar dan sebagainya.

Rangkaian 5G dengan kependaman masa singkat membolehkan komunikasi multimedia yang efektif antara dua lokasi jauh. Ini membolehkan banyak aktiviti dijalankan secara maya dan melalui teknologi kawalan jarak jauh, seperti pembedahan jarak jauh tanpa memerlukan pesakit dan doktor berada pada lokasi yang sama. Aplikasi seperti ini mampu membantu dalam penjimatan tenaga dan sumber berkaitan.

Apa lagi faedah teknologi 5G?

Selain akses mudah alih, rangkaian 5G mempunyai keupayaan untuk menawarkan akses jalur lebar kepada pengguna yang tidak bergerak, seperti di sekolah, taman perumahan dan pejabat, melalui rangkaian akses tetap 5G (5G Fixed Wireless Access). Ini merupakan satu solusi yang efisien dan efektif berbanding rangkaian fiber optik atau wayar yang biasanya berkos tinggi. Solusi ini juga dapat digunakan bagi memberi akses internet jalur lebar kepada penduduk di kawasan luar bandar yang tidak mempunyai rangkaian fiber optik.

NEGARA YANG GUNAKAN 5G

Negara mana yang sudah membangunkan teknologi 5G, dan apa kesan baik dan buruk teknologi tersebut terhadap negara-negara itu?

Teknologi 5G telah diperkenalkan secara komersial di banyak negara sejak 2019, termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Sweden, Turki , Australia, Korea Selatan, Jepun, China, Filipina, Singapore, Thailand dan Indonesia. Mengikut data dari laporan tahunan GSA (Global mobile Supplier Association) pada 2021, sudah ada 74 negara /wilayah yang telah melancarkan satu atau lebih perkhidmatan 5G yang mematuhi standard 3GPP.

Apa yang dapat disimpulkan terhadap negara-negara yang bangunkan teknologi ini?

Antara kebaikan yang dinikmati oleh negara yang mempunyai teknologi 5G ini termasuklah perkhidmatan jalur lebar yang berkesan kepada pengguna dan pengenalan aplikasi pintar untuk menambahkan produktiviti sektor kerajaan dan industri. Ini secara tidak langsung menambahkan produktiviti dan pendapatan negara dan membawa pelaburan dari pihak luar dalam industri tempatan.

DATA PRIVASI

Adakah teknologi 5G akan mendedahkan pengguna kepada kebocoran data privasi?

Secara dasarnya, pembangunan dan penggunaan rangkaian 5G ini tidak banyak perbezaan ketara berbanding teknologi selular yang digunakan sekarang seperti 2G, 3G dan 4G. Pengguna masih mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada setuju berkongsi maklumat peribadi dan privasi, seperti lokasi fizikal, melalui tetapan yang dipilih semasa menggunakan servis atau aplikasi melalui rangkaian 5G. Hak dan data privasi pengguna masih dilindungi oleh polisi-polisi dan undang-undang kawalan data privasi pengguna yang sedia ada di Malaysia.

Ada rakyat merungut, talian internet di sesetengah lokasi di Malaysia masih perlahan tapi teknologi 5G pula mahu dibangunkan?

Sebagai pengguna yang bijak di mana kehidupan seharian kita dikelilingi dengan pelbagai teknologi, rakyat sepatutnya sudah matang dan faham dengan proses pembangunan sesuatu produk berasaskan teknologi, yang mana akan wujud peningkatan prestasi bagi sistem dan produk yang dibangunkan dari satu generasi ke generasi yang baru. Sebagai contoh kereta, komputer, telefon bimbit dan banyak lagi.

Boleh huraikan lebih jelas?

Perkara yang sama berlaku di dalam teknologi sistem mudah alih selular. Teknologi mudah alih selular ini bermula dengan sistem 1G pada 1980-an, diikuti dengan 2G pada 1990-an, 3G di tahun 2000-an, 4G pada 2010-an dan sekarang 5G. Dilihat semula dari evolusi sistem ini, pengguna hanya boleh membuat panggilan secara tanpa wayar semasa sistem 1G dan 2G. Penggunaan data internet mudah alih atau Mobile internet hanya diperkenalkan semasa sistem 3G.

Kemudian, kelajuan internet mudah alih ini ditingkatkan lagi apabila 4G diperkenalkan. Dan sekarang dengan 5G kelajuan internet mudah alih adalah sekurang-kurangnya 10 kali lebih pantas daripada 4G. Peningkatan kelajuan ini penting bagi memberikan perkhidmatan yang lebih baik dan seterusnya menyelesaikan masalah kesesakan yang menyebabkan akses internet yang perlahan di sesetengah kawasan. Antara usaha yang dilakukan oleh MCMC di bawah program Jalinan Digital Negara (JENDELA) juga adalah untuk menghentikan sistem 3G pada 2021 dan menggantikannya dengan sistem 4G dan 5G yang mampu menyediakan perkhidmatan pada kelajuan lebih tinggi.

Bolehkah capaian 5G dapat dinikmati di setiap kawasan di Malaysia?

Secara prinsipnya boleh capaian 5G akan dapat dinikmati di kawasan yang mempunyai liputan dari stesen pangkalan 5G. Stesen pangkalan ini adalah sama seperti stesen pangkalan sistem 2G, 3G dan 4G seperti yang kita dapat lihat di bumbung-bumbung bangunan, menara stesen pangkalan di lebuhraya, tiang lampu dan lain-lain.

Dilihat daripada pelaporan DNB di media, DNB telah menyiapkan 500 tapak stesen pangkalan 5G di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya pada Disember 2021 dan mensasarkan untuk meliputi 10 peratus penduduk dengan liputan 5G. Pada tahun ini, DNB menyasarkan liputan penduduk sebanyak 40 peratus dengan liputan dilancarkan di Pulau Pinang, Johor, Sabah, Sarawak, Selangor, Negeri Sembilan dan Perak. DNB menyasarkan untuk mencapai purata penduduk 80 peratus menjelang akhir 2024.

SETIAP RAKYAT DAPAT LIPUTAN

Bagaimana mahu pastikan setiap kawasan mendapat capaian dan liputan 5G, maksudnya setiap rakyat Malaysia walau di mana mereka berada, mampu dapat akses internet yang laju?

Ada tiga perkara diperlukan untuk memastikan setiap rakyat Malaysia mendapat capaian dan liputan 5G. Pertama, capaian 5G akan berlaku dengan adanya liputan 5G oleh stesen pangkalan 5G yang didirikan di kawasan tersebut. Kedua, pengguna perlu mempunyai peranti/ telefon mudah alih 5G kerana 5G beroperasi pada frekuensi berlainan daripada 4G, 3G dan 2G. Dan yang terakhir, pengguna perlu melanggan pelan 5G daripada operator 5G di Malaysia.

Apa kaedah pengendali 5G untuk memastikan servis dapat dinikmati seluruh rakyat di Malaysia?

Pada kebiasaannya, pengendali operator akan mendirikan stesen pangkalan di sesuatu lokasi berdasarkan kepadatan pengguna dan pemulangan pelaburan. Oleh itu, bandar adalah kawasan yang diberikan keutamaan dan kawasan terpencil dengan ketumpatan pengguna yang rendah besar kemungkinan tidak dipenuhi sepenuhnya. Senario ini dapat dilihat dalam pembekalan servis 4G sekarang.

Bagaimana mahu rapatkan jurang digital antara bandar dengan luar bandar?

Bagi merapatkan jurang digital (Digital Divide) antara kawasan bandar dan kawasan terpencil, antara usaha pihak MCMC bagi memastikan liputan mudah alih di kawasan terpencil adalah mengumpul dana USP (Universal Service Provision) dari pihak syarikat pengendali bagi menampung kos penyediaan liputan di kawasan luar bandar atau terpencil.

Di sini, memandangkan pembekal infrastruktur 5G di Malaysia adalah entiti yang ditubuhkan di bawah Kementerian Kewangan, pihak kami berharap pembekal tersebut akan lebih peka dengan obligasi sosial ini dan dapat menyediakan liputan ke kawasan luar bandar yang terpencil secara berperingkat.

Maksudnya, semua rakyat tak kira di bandar atau kampung, boleh dapat liputan yang sama selepas ini?

Pembekalan liputan perkhidmatan jalur lebar boleh dirancang dan direalisasikan dengan sama rata tidak mengira bandar atau kawasan terpencil. Ini adalah selaras dengan aspirasi di bawah pelan digital negara dan JENDELA untuk menjamin semua rakyat dapat menikmati servis jalur lebar yang optima dan membangun bersama. Selain keperluan stesen pangkalan 5G, faktor peranti dan telefon mudah alih 5G juga memainkan peranan bagi memastikan rakyat mendapat akses kepada teknologi ini. Buat masa ini, sudah ada banyak peranti 5G di pasaran yang boleh dibeli mengikut kategori dan julat harga masing-masing.

KELAJUAN INTERNET

Apakah tanda aras atau kayu ukur kelajuan internet?

Secara umumnya bagi pengguna, kelajuan internet diukur menggunakan tanda aras kelajuan bagi memuat turun dan memuat naik data internet ke dan dari peranti atau telefon mudah alih. Tanda aras yang lebih terperinci dan teknikal digunakan bagi mengawal selia liputan sistem mudah alih selular, seperti kualiti pengalaman atau Quality of Experience (QoE) yang mengambil kira aplikasi yang digunakan di peranti mudah alih. Sebagai contoh tanda aras QoE yang baik untuk penstriman video di peranti mudah alih adalah berbeza dengan aplikasi permainan video game dalam talian atau email.

Bagaimana perancangan untuk membangunkan infrastruktur 5G ini?

Sistem 5G dibangunkan menggunakan tiga spektrum frekuensi iaitu spektrum jalur rendah 700MHz, spektrum jalur pertengahan 3.5GHz dan spektrum jalur gelombang milimeter 26/28 GHz. Bagi merealisasikan potensi penuh sistem 5G, kajian daripada pihak GSMA menyarankan agar kerajaan dan pengawal selia spektrum sesebuah negara (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) atau MCMC bagi negara kita) untuk menyediakan 80-100 MHz spektrum kepada setiap pengendali operator dalam jalur pertengahan 5G dan sekitar 1 GHz kepada setiap pengendali operator dalam jalur gelombang milimeter. Di Malaysia, jumlah spektrum jalur pertengahan di frekuensi sekitar 3.5 GHz yang boleh digunakan untuk sistem 5G hanyalah sebanyak 200MHz iaitu dari 3.4GHz ke 3.6 GHz. Oleh itu, spektrum pertengahan ini perlulah dikongsi oleh operator yang banyak di Malaysia.

UNTUK RAKYAT

Apa jaminan, pembangunan 5G dapat dinikmati seluruh rakyat? Sebab sebelum ini ramai mengeluh capaian internet mereka perlahan di banyak kawasan. Jadi apa jaminan hal sedemikian tak berlaku?

Secara mudah, kelajuan internet ini dapat diumpamakan seperti pembekalan air ke kawasan penempatan di mana kelajuan dan jumlah air yang sampai ke setiap rumah adalah bergantung kepada saiz paip dan tekanan air ke kawasan perumahan tersebut. Sekiranya saiz paip adalah besar dan tekanan air adalah kuat maka bekalan air di sesuatu kawasan itu akan lebih laju dan memuaskan. Dan apa yang akan berlaku sekiranya jumlah rumah di kawasan itu bertambah tetapi saiz paip dan tekanan air yang membekalkan air ke kawasan tersebut masih sama? Ini sudah pasti akan mengurangkan kelajuan dan jumlah bekalan air yang sampai ke setiap rumah.

Maksudnya?

Perkara yang sama berlaku di dalam sistem mudah alih selular. Teknologi 4G mempunyai kapasiti dan kelajuan maksimum yang tetap, manakala trend dan populariti penggunaan internet mudah alih oleh pengguna meningkat dari setahun ke setahun. Ini menyebabkan berlakunya kesesakan dan capaian internet menjadi perlahan terutamanya di kawasan tumpuan awam, seperti di pusat beli-belah, hospital, dan event seperti konsert. Oleh itu bagi kawasan seperti ini lebih banyak pangkalan stesen diperlukan. Dan dengan adanya sistem 5G, pangkalan stesen yang disediakan adalah lebih optimum, secara ideologinya saiz paip dan tekanan air adalah lebih besar dan kuat untuk sistem 5G berbanding sistem sebelumnya seperti 4G, 3G dan 2G.  – MINGGUAN MALAYSIA

Date of Input: 18/01/2023 | Updated: 18/01/2023 | azhar.mahdzir

MEDIA SHARING

Student Affairs Division
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 6075
+603-9769 2091
SXFBEAY~