UPM Terima Serahan Tugas Pengerusi MAKMUM | Student Affairs Division
» NEWS » UPM terima serahan tugas Pengerusi MAKMUM

UPM terima serahan tugas Pengerusi MAKMUM

 

16 Ogos 2020, Pengkalan Chepa: Universiti Putra Malaysia (UPM) menerima serahan tugas dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bagi portfolio Pengerusi Majlis Keusahawanan Mahasiswa Universiti-Universiti Malaysia atau MAKMUM pada Majlis Serah Tugas yang diadakan di UMK Kampus Kota, di sini hari ini.

Dalam majlis ini, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMK, Y. Bhg. Profesor Dr. Zaliman Sauli dengan rasminya menyerahkan portfolio Pengerusi MAKMUM kepada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Y. Bhg. Profesor Dr. Mohd Roslan bin Sulaiman dengan disaksikan oleh pegawai-pegawai kanan entiti Hal Ehwal Pelajar dan Alumni yang turut hadir dari kedua-dua universiti.

Dalam ucapannya, Profesor Dr. Zaliman Sauli melahirkan rasa bangga dan mengucapkan terima kasih khususnya kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang memberi kepercayaan kepada UMK untuk meraju keusahawanan di universiti-universiti negara ini. Beliau juga turut mengucapkan tahniah atas penerimaan UPM selaku Pengerusi MAKMUM yang baharu dan seterusnya berharap agar keusahawanan mahasiswa dapat dianjakkan ke tingkat yang lebih tinggi.

Sementara itu, Profesor Dr. Mohd. Roslan bin Sulaiman menzahirkan penerimaan jawatan Pengerusi MAKMUM sebagai satu kepercayaan dari KPT kepada beliau dan UPM dalam memastikan kecemerlangan keusahawanan mahasiswa dapat diteruskan. "Saya amat berharap agar keusahawanan ini terus diterapkan kepada setiap mahasiswa khususnya ketika dunia dilanda krisis seperti sekarang ini. Dengan ini, pelajar akan lebih tersedia dan proaktif untuk memperkasakan diri dengan keusahawanan sebagai persediaan menghadapi masa depan", katanya. Beliau berazam untuk menggalas tanggungjawab besar ini sebaik mungkin. Segala dasar dan gerak kerja serta perancangan keusahawanan akan diteruskan bagi memastikan MAKMUM kekal relevan dalam mempersiapkan seorang graduan yang berkualiti dan berdaya saing.

Majlis ini dilengkapkan dengan upacara menandatangan surat cara penyerahan dan terima tugas dari kedua-dua pihak dan seterusnya diakhiri dengan sesi fotografi semua pegawai yang hadir.

Date of Input: 17/08/2020 | Updated: 17/08/2020 | mshahrul

MEDIA SHARING

Student Affairs Division
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 6075
+603-9769 2091
SXETPAb~