UPM Menjuarai Tempat Pertama Pertandingan Debat Bahasa Arab | Student Affairs Division
» NEWS » UPM Menjuarai Tempat Pertama Pertandingan Debat Bahasa Arab

UPM Menjuarai Tempat Pertama Pertandingan Debat Bahasa Arab

UPM Serdang – Seramai 12 orang mahasiswa Bacelor Sastera (Bahasa Asing) Pengkhususan Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia telah menjadi sebahagian perwakilan Malaysia di Program International Arabic Camp & Muktamar ITHLA VIII 2019 pada 25-27 November 2019 di Asrama Haji Pondok Gede Jakarta, Indonesia.

12 orang perwakilan ini yang dipimpin oleh saudara Mohd Azrol Hafizi bin Azman dan saudara Ahmad Syahmi  bin Mohamed, 2 orang mahasiswa Master Sastera (Bahasa Arab) UPM telah meraih kejayaan apabila memenangi tempat pertama pertandingan debat bahasa arab dan tempat ketiga pertandingan bacaan buku bahasa arab dalam program ini yang disertai oleh ratusan mahasiswa bahasa Arab Se-Indonesia. 

Pasukan Debat Bahasa Arab UPM adalah terdiri daripada Muhamad Iqmal Hakif bin Mohd Asri, Nur Atiqah Ashreena binti Norizam dan Nurul Ilya Maisarah binti Maskuri. Manakala, pasukan Bacaan Buku Bahasa Arab UPM adalah terdiri daripada Iliya Aqilah binti Bahazain. 

Aktiviti-aktiviti yang telah dipertandingkan di Program International Arabic Camp & Muktamar ITHLA VIII 2019 antaranya; Pertadingan Debat Bahasa Arab, Pertandingan Bacaan Buku Bahasa Arab, Pertandingan Nyayian Lagu Bahasa Arab serta Pertandingan Mendeklamasikan Puisi Bahasa Arab. Tambahan itu, acara-acara bahasa Arab yang lain turut disertai dengan jayanya oleh para perwakilan mahasiswa bahasa Arab UPM antaranya Seminar Bahasa Arab Antarabangsa, Persidangan Mahasiswa Bahasa Arab serta Bengkel Bahasa Arab.

Tahun ini merupakan penyertaan kali ke-3 buat para perwakilan mahasiswa Bacelor Sastera (Bahasa Asing) Pengkhususan Bahasa Arab UPM ke peringkat antarabangsa untuk terus menyemarakkan rasa cinta terhadap Bahasa Arab disamping ingin meningkatkan penguasaan kecekapan komunikatif dalam berbahasa Arab ke tahap yang lebih baik melalui penglibatan dalam program mobiliti luar negara.

Penyertaan kali pertama para perwakilan mahasiswa bahasa Arab UPM adalah pada tahun 2017 iaitu dalam Perkhemahan Antarabangsa & Seminar Kebangsaan Bahasa Arab di Yogyakarta Indonesia dengan menjuarai Tempat Ketiga dalam Pertandingan Debat Bahasa Arab serta penyertaan kali kedua adalah pada tahun 2018 iaitu dalam Perkhemahan dan Persidangan Mahasiswa Bahasa Arab Se-Asia Tenggara di Ponorogo, Indonesia dengan memenangi Tempat Pertama dalam Pertandingan Debat Bahasa Arab.

Disamping itu, tahun 2019 merupakan tahun kedua buat perwakilan mahasiswa bahasa Arab UPM mengadakan Program Khidmat Masyarakat ‘Pengajaran Bahasa Arab’ yang mana pada mulanya diadakan pada tahun 2018 di perkampungan wilayah Ponorogo, Indonesia. Aktiviti-aktiviti pengajaran bahasa Arab yang telah diadakan pada tahun ini di Pondok Pesantren Tahfidz Al-Qur’an Al-Ihya Subang, Indonesia pada 27-29 November 2019 antaranya; binaan ayat, meneka gambar, memperbetulkan kesalahan bahasa, menyusun cerita, nyayian lagu serta penentuan perkataan dalam pelbagai situasi.

Antara komponen-komponen kecekapan komunikatif yang menjadi panduan untuk memperkasakan penguasaan mahasiswa bahasa Arab UPM dalam berbahasa Arab melalui penglibatan dalam program berprestij antarabangsa ini adalah sepertimana Model Kecekapan Komunikatif yang dipelopori oleh dua orang pengakaji barat terkemuka iaitu Canale & Swain (1980) antaranya kecekapan tatabahasa, kecekapan wacana, kecekapan sosio-budaya serta kecekapan strategi dalam berkomunikasi secara berkesan.

Oleh : Mohd Azrol Hafizi bin Azman

 

Date of Input: 03/12/2019 | Updated: 10/12/2019 | mshahrul

MEDIA SHARING

Student Affairs Division
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 6075
+603-9769 2091
C1579299256