UPM Berbakti Kepada Komuniti Melalui Program My Hope 2.0 | Student Affairs Division
» NEWS » UPM berbakti kepada komuniti melalui program My Hope 2.0

UPM berbakti kepada komuniti melalui program My Hope 2.0

14 Ogos 2020, Kuantan: Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah memberikan sumbangan kepada penduduk yang terpilih dalam Program Penyerahan Sumbangan MY HOPE 2.0 yang diadakan di Kampung Cempaka, di sini hari ini. Program anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kampung Cempaka ini dirasmikan oleh ADUN Inderapura, Y.B. Dato' Sri Haji Shafik Fauzan bin Sharif serta turut melibatkan Jabatan Pertanian Negeri Pahang yang diwakili oleh Pengarahnya iaitu Encik Mohd Nazri bin Abu Seman dan beberapa agensi yang lain.

Dalam ucapannya, Y.B. Dato' Sri Haji Shafik amat berbesar hati atas kesudian pihak UPM datang memberikan sumbangan kepada penduduk di sini. Menurut beliau lagi, program seumpama ini dapat mengeratkan lagi hubungan antara pelajar dan komuniti sekaligus melahirkan masyarakat yang saling membantu antara satu sama lain.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Y. Bhg. Profesor Dr. Mohd Roslan bin Sulaiman dalam ucapannya menzahirkan rasa bangga atas keterlibatan pelajar UPM dalam program ini. "Program ini berupaya membuktikan bahawa pelajar UPM berupaya untuk berinteraksi dengan berkesan di pelbagai lapisan masyarakat," katanya. Menurut Profesor Dr Roslan lagi, beliau juga melihat wujudnya elemen pemindahan ilmu pengetahuan atau 'transfer knowledge' dari pelajar kepada penduduk Kampung Cempaka dalam program ini. Ini amat bermakna bukan sahaja kepada UPM, malah turut memberi kesan positif kepada golongan sasaran yang berkenaan. Beliau juga turut mengumumkan bahawa Kampung Cempaka akan menjadi 'Kampung Angkat UPM' dengan pelaksanaan lebih banyak program kerjasama akan diadakan pada masa akan datang.

MY HOPE adalah merupakan inisiatif Program Komuniti anjuran Kelas Kokurikulum Berkredit Bakti Siswa PKPP UPM yang bermula pada tahun 2019. Sehingga kini, program ini berjaya mengumpul dana hampir RM140,000.00 hasil sumbangan pelbagai pihak. Dana ini digunakan untuk pembangunan prasarana bagi manfaat komuniti Kampung Cempaka khususnya dan penduduk kawasan berhampiran amnya.

Pada program yang turut melibatkan 14 orang wakil pelajar UPM hari ini, seramai 20 orang penduduk Kampung Cempaka menerima sumbangan barangan berupa keperluan asas yang disumbangkan oleh Sahabat Masjid UPM.

 

Date of Input: 15/08/2020 | Updated: 15/08/2020 | mshahrul

MEDIA SHARING

Student Affairs Division
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 6075
+603-9769 2091
SXETSAf~