Over 4000 New Students Register For Minggu Perkasa Putra Empowerment We Love UPM | Student Affairs Division
» NEWS » Over 4000 New Students Register For Minggu Perkasa Putra Empowerment We Love UPM

Over 4000 New Students Register For Minggu Perkasa Putra Empowerment We Love UPM

SERDANG, 1 September 2019  – Seramai 3882 pelajar baharu tempatan program Bacelor mendaftar di Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi sesi akademik 2019/2020.  Pelajar baharu yang mendaftar ini terdiri daripada 1190 pelajar lelaki dan 2692 pelajar wanita.  

Jumlah pelajar baharu itu meningkat seramai 255 orang atau sebanyak 6.5% di mana pada tahun lalu seramai 3627 pelajar telah mendaftar di UPM yang terdiri daripada 1067 pelajar lelaki dan 2560 pelajar wanita.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UPM, Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata pelajar baharu UPM akan mendaftar dalam 83 program yang ditawarkan daripada 16 fakulti.  “Seramai 490 pelajar antarabangsa yang turut mendaftar bagi program Bacelor.  Jumlah pelajar antarabangsa tersebut meningkat iaitu seramai 14 orang berbanding pada tahun lalu seramai 476 orang,” kata beliau.

Selain itu, seramai lebih 100 orang pelajar mendaftar di UPM Kampus Bintulu, 3 program di UPMKB secara duplikasi mula ditawar pada semester ini, Bac. Sains Perhutanan, Bac. Pertanian (Akuakultur), Bac. Sains  Pembangunan Manusia dengan Pengurusan menjadikan 4 program Bacelor di UPMKB.

Seramai 11 orang kelainan upaya dan 6 orang asli mendaftar program Bacelor di UPM. UPM juga mengambil 90 atlet diantaranya ada yang akan mewakili Malaysia dalam Sukan Sea 2019 di Filipina.  Turut mendaftar ialah 81 pelajar melalui Kemasukan Laluan Khas B40. Laluan Khas ini ditawarkan kepada pelajar yang mempunyai latar belakang keluarga berpendapatan rendah.

Semua pelajar baharu yang mendaftar ini telah menjalani program orientasi universiti yang diadakan bermula 1 sehingga 8 September 2019.  Minggu Perkasa Putra Sesi 2019/2020 adalah program wajib yang diadakan bersempena dengan kemasukan pelajar baharu. Saban tahun berlalu pelbagai pengisian telah dianjurkan bagi memastikan semua pelajar baharu mendapat input yang berguna untuk bersiap sedia menjadi warga kampus.  Pelbagai initiatif telah diambil oleh Jawatankuasa Kerja MPP dalam meneliti setiap slot yang dianjurkan agar mempunyai inovasi sesuai dengan kehendak masa kini.

Sebanyak 20 slot telah dianjurkan sepanjang program MPP pada tahun ini.  Cogankata We Love UPM diterapkan secara mendalam bertujuan memupuk rasa cinta kepada UPM di samping memperkasakan perpaduan antara semua kaum.  Antara program yang diadakan adalah Majlis Bersama Menteri iaitu YB Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) yang juga merupakan Alumni UPM.  Selain itu, Majlis Ikrar Pelajar Baharu bersama Naib Canselor YBhg. Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UPM, Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman juga tidak ketinggalan bersama-sama dengan pelajar baharu pada tahun ini.  Slot beliau yang dimulakan dengan gimik sebagai salah seorang “Rider” FoodPanda menjadi kejutan buat semua penonton di dalam dewan.  “Tidak dinafikan kerjaya Rider kini tular dalam kalangan mahasiswa IPT dan saya mengambil initiatif ini untuk memberi panduan kepada mahasiswa yang ingin menjana pendapatan tetapi masih menggalas tanggungjawab sebagai penuntut di IPT supaya tujuan sebenar pelajar adalah untuk menggenggam segulung ijazah’ ujar beliau.

Antara slot yang mengakhiri program MPP adalah “Putra Souq” dan Penanam Pokok yang sinonim dengan kampus hijau UPM.  Putra Souq diadakan di Bukit Ekspo TPU UPM, menyaksikan sebanyak 60 buah Kelab/Persatuan membuka gerai dan booth masing-masing untuk menarik ahli-ahli baru dalam kalangan pelajar baharu.  Para pelajar baharu diberi kebebasan dalam memilih mana-mana Kelab/Persatuan yang diminati. Program ini juga menyaksikan demonstrasi daripada Kelab/Persatuan Seni Mempertahankan Diri, PALAPES, SUKSIS dan SISPA selain daripada persembahan kebudayaan daripada Kelab/Persatuan Kesenian dan Kebudayaan UPM.  Sesi Penanam Pokok pula diadakan pada keesokan harinya di mana semua pelajar baharu dibahagikan kepada lebih 5 kawasan penanaman antaranya di Ladang 16, TPU, Ladang Humprey dan banyak lagi. Setiap pelajar diberikan sekurang-kurang 1 pokok untuk di tanam sendiri pada tempat yang telah ditetapkan.

Kesimpulannya Program Minggu Perkasa Putra telah memberi banyak pengalaman dan input yang terbaik kepada semua pelajar baharu dalam mempersiapkan diri untuk menjadi warga UPM yang mengaplikasikan pelbagai nilai dan kemahiran insaniah di samping memupuk rasa cinta kepada UPM sekaligus memperkasakan We Love UPM. 

 Oleh : Adidi Tamin

Date of Input: 18/10/2019 | Updated: 29/10/2019 | mohd.hasrul

MEDIA SHARING

Student Affairs Division
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 6075
+603-9769 2091
SXETKA1~