Bicara Inspirasi Siri 3: OKU Aktif Dan Terbilang | Student Affairs Division
» NEWS » Bicara Inspirasi Siri 3: OKU Aktif Dan Terbilang

Bicara Inspirasi Siri 3: OKU Aktif Dan Terbilang


Penulis: Marlinah Muslim

UPM SERDANG, 25 Jun 2020 - Setelah dua minggu berturut- turut program Bicara Inspirasi Siri 1 dan Siri 2 diadakan secara dalam talian, Program Bicara Inspirasi Siri 3 diteruskan dengan menampilkan ahli-ahli panel jemputan yang berpengalaman luas dalam bidang sukan kebangsaan dan antarabangsa.

Panel jemputan yang pertama iaitu Dr. Hanafiah Ayub, Ketua Pusat Sukan UPM menerangkan tentang perkhidmatan sokongan berbentuk fasiliti dan bantuan kewangan yang disediakan oleh UPM melalui Pusat Sukan bagi pelajar-pelajar dan kakitangan OKU yang ingin aktif bersukan. Menurut Dr. Hanafiah, Pusat Sukan UPM juga tidak lupa kepada kebajikan atlet contoh atlet yang kemalangan dan menjadi OKU telah dibantu oleh mereka untuk mendapatkan rawatan. Selain itu, Pusat Sukan juga sentiasa mencungkil bakat pelajar dan kakitangan termasuk OKU agar mereka dapat melangkah maju ke hadapan sehingga dapat mewakili universiti atau negara ke peringkat antarabangsa.

Melalui perkongsian pengalaman saudara Mohamad Azwar Bakar@ Ibrahim, atlet Paralimpik Ping Pong negara yang juga merupakan penolong pegawai belia dan sukan UPM, sikap tidak berputus asa dan sentiasa konsisten berlatih membolehkan beliau mewakili negara dan memenangi pingat gangsa dalam acara ping pong pada Sukan Paralimpik di Rio de Janeiro, Brazil. Azwar juga menasihatkan mereka yang ingin mengikut jejak langkah beliau agar berusaha tampil ke hadapan tanpa perlu merasa rendah diri. Azwar juga memberikan contoh sikap positif dan kesungguhan rakan-rakan seperjuangan paralimpik yang patut dijadikan contoh seperti Ridzuan Puzi, Abdul Latif Romly dan Ziyad Zolkefili sehingga mereka berjaya dalam bidang sukan.

Menurut pandangan panel ketiga, Datuk Dr. Ramlan Abdul Aziz, mantan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN), olimpik dan paralimpik tiada perbezaannya kerana dua kategori tersebut adalah dalam kategori sukan prestasi tinggi. Bagi merancang kejayaan para atlet, pihak tertinggi akan mengajak jurulatih-jurulatih terlibat untuk berbincang dan mengatur strategi untuk para atlet. Memberi peluang kepada atlet para berdasar bakat dan kesungguhan juga adalah faktor yang boleh membawa mereka ke peringkat yang lebih tinggi lagi. Manakala, untuk seseorang para berjaya dalam bidang sukan, atlet para tersebut akan dikenalpasti terlebih dahulu dalam sistem pengenalpastian dan pembangunan bakat. Mendorong keinginan kuat para atlet yang berbakat ini juga boleh membawa atlet para tersebut ke peringkat yang lebih tinggi lagi.

Selain itu beliau juga menasihatkan para atlet yang ingin berjaya agar menjaga disiplin pemakanan serta pelbagai lagi peraturan sebagai atlet serta konsisten dalam pencapaian agar lebih maju dalam kehidupan.

Kesimpulannya, tiada halangan untuk atlet para untuk berjaya dan terbilang di dalam bidang sukan namun OKU itu sendiri harus menonjolkan bakat, berdisiplin serta konsisten berlatih kerana bantuan akan sentiasa ada buat mereka yang berbakat serta bersungguh-sungguh dalam bidang sukan. Atlet para juga seharusnya tidak merasa rendah diri bila bergaul secara inklusif dengan orang lain sebagaimana nasihat daripada saudara Azwar. Semoga Bicara Inspirasi Siri 3 ini memberi kesedaran kepada semua bahawa OKU juga boleh menjalani hidup aktif dan berjaya sebagai atlet sukan.

Bagi yang terlepas peluang untuk menonton secara langsung FB Live boleh menonton ulang siar video di Facebook Bahagian Hal Ehwal Pelajar

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1479619038883928&id=418781688256351 

Date of Input: 11/07/2020 | Updated: 11/07/2020 | mshahrul

MEDIA SHARING

Student Affairs Division
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 6075
+603-9769 2091
SXEZXAr~