[20/05/2020] OPS Hantar Pulang Pelajar UPM | Student Affairs Division
» NEWS » [20/05/2020] OPS Hantar Pulang Pelajar UPM

[20/05/2020] OPS Hantar Pulang Pelajar UPM

UPM Serdang, 20 Mei 2020 - Seramai 1740 pelajar Universiti Putra Malaysia telah dihantar pulang sejak 27 April 2020 sehingga 20 Mei 2020 yang dibahagikan kepada dua fasa penghantaran.

Seramai 825 bilangan pelajar UPM yang tinggal di dalam dan di luar kawasan kampus telah berjaya dihantar pulang pada Fasa 1 ke enam zon penghantaran yang bermula pada 27 April 2020 sehingga 5 Mei 2020. Enam zon tersebut berserta bilangan pelajar yang berjaya dihantar ialah zon utara (112), zon tengah (68), zon Perak (91), zon Pantai Timur (331), zon selatan (176) dan zon Sarawak (39).

 

Manakala, pada Fasa 2, seramai 915 bilangan pelajar UPM di dalam dan di luar kampus telah berjaya dihantar pulang dari UPM Serdang ke sepuluh zon penghantaran yang bermula pada 7 Mei 2020 sehingga 20 Mei 2020. Sepuluh zon yang terlibat berserta bilangan pelajar yang berjaya dihantar adalah zon Bintulu Sarawak (41), zon utara (154), zon selatan (260), zon Kuching Sarawak (5), zon Bintulu Sarawak (12), zon Perak (42), zon tengah (22), zon selatan dan Zon Pantai Timur (191), zon utara (6) serta zon Sabah (182).

Tanggungjawab menghantar pelajar dari UPM Serdang ke seluruh zon di Malaysia bukanlah tugas mudah namun atas dasar keprihatinan dan dedikasi kepada para pelajar selepas mendapat kebenaran daripada pihak Kementerian Pengajian Tinggi serta kerajaan Malaysia amnya, UPM dengan penuh tanggungjawab dan berhati-hati melaksanakan tugas berdasarkan Standard Operating Procedure (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Kebajikan pelajar dan petugas sepanjang proses penghantaran balik turut dijaga melalui penyediaan bekalan makanan untuk sahur dan berbuka puasa, penyediaan topeng muka, hand sanitiser dan lantikan pegawai penjaga bagi setiap bas. Pihak yang turut terlibat dan bekerjasama dengan UPM dalam proses OPS Hantar Pulang pelajar ialah MKN, KKM dan PDRM.

Walaupun sayu meninggalkan kampus yang meninggalkan kenangan manis semasa menempuh musim Perintah Kawalan Pergerakan lebih sebulan namun tidak dapat dinafikan kegembiraan jelas terpancar di wajah pelajar yang dapat pulang ke rumah. Ucapan terima kasih pelajar dirakam melalui beberapa nota yang ditinggalkan di dalam Dewan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah serta melalui medium yang lain.

Semoga dengan kerjasama semua pihak dalam menangani COVID-19 ini, universiti akan beroperasi semula seperti sediakala. Setinggi-tinggi penghargaan kepada petugas barisan hadapan dan sukarelawan atas kesungguhan serta komitmen dalam usaha menghantar pelajar pulang ke rumah masing-masing. Usaha dan pengorbanan mereka akan sentiasa dikenang dan dihargai semua.

Date of Input: 30/05/2020 | Updated: 05/08/2020 | mshahrul

MEDIA SHARING

Student Affairs Division
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 6075
+603-9769 2091
W1VMDTFQ:19:05