UPM MASIH PERTAHANKAN REKOD 21 TAHUN JALUR GEMILANG TERBESAR THE MALAYSIA BOOK OF RECORDS | Bahagian Hal Ehwal Pelajar
» BERITA » UPM MASIH PERTAHANKAN REKOD 21 TAHUN JALUR GEMILANG TERBESAR THE MALAYSIA BOOK OF RECORDS

UPM MASIH PERTAHANKAN REKOD 21 TAHUN JALUR GEMILANG TERBESAR THE MALAYSIA BOOK OF RECORDS

 
Sempena semarak kempen kibarkan Jalur Gemilang pada Sambutan Bulan Kebangsaan oleh pelbagai pihak, individu dan Keluarga Malaysia di premis kerajaan, swasta, perniagaan, kediaman, organisasi dan kenderaan masing-masing, nilai sentimental saya kembali menggamit memori catatan rekod negara yang dicipta oleh mahasiswa Kolej Sepuluh (K10), Universiti Putra Malaysia (UPM) 21 tahun dahulu iaitu pada tahun 2001.
 
Pada detik bersejarah April 2001, saya selaku Pengarah Program ‘Putra Kinabalu’, dengan berbekalkan semangat patriotik oleh sahabat-sahabat seangkatan saya seramai 42 pelajar di K10, menyaksikan UPM telah berjaya menghasilkan Jalur Gemilang selepas menyiapkannya dalam tempoh tiga bulan.
Jalur Gemilang Kolej 10 UPM akhirnya berjaya direntangkan di tiga lokasi iaitu puncak Gunung Kinabalu, Stadium Kota Kinabalu, Sabah dan Stadium UPM sehingga dinobatkan oleh The Malaysia Book of Records sebagai Jalur Gemilang terbesar pernah dicipta dalam Malaysia. Program ‘Putra Kinabalu’ pada masa itu juga telah merekayasa aktiviti khidmat kemasyarakatan dengan masyarakat setempat di Kota Kinabalu dan Ranau termasuk ekspedisi pelajar Kolej Sepuluh, UPM UPM mendaki Gunung Kinabalu untuk mengibarkan Jalur Gemilang.
 
Sehingga kini, bendera berukuran 118 meter x 40 meter ciptaan pelajar K10 UPM tersebut yang telah memecahkan rekod Jalur Gemilang terbesar dicipta sebelumnya oleh Kementerian Penerangan di bangunan Angkasapuri, masih belum lagi dipecahkan oleh sesiapa ataupun mana-mana pihak selepas 21 tahun. Selama 21 tahun rekod ini masih bertahan, ia bukan sahaja menjadi kebanggaan UPM tetapi refleksi kebanggaan pengajian tinggi negara. Semoga semangat 42 pelajar K10 UPM ketika 21 tahun lalu dapat membangkitkan aura kita pada masa kini dalam menunjukkan semangat patriotisme dan cintakan negara dalam kalangan Keluarga Malaysia seperti yang dihasratkan oleh YAB Perdana Menteri Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob.
 
Saya juga mengambil kesempatan menitipkan kembali penghargaan terhadap kerjasama Rakan Muda dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada masa itu di bawah pimpinan Menterinya, YB. Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein selaku penaung kepada Program ‘Putra Kinabalu’ K10 UPM, penaja utama, TV3 (Rancangan Remaja), MAS, AIR ASIA, TNB, Berita Harian, Utusan Malaysia, Kolej Ibukota Kinabalu dan beberapa pihak lagi.
 
Ayuh, tarikh keramat 31 Ogos Hari Kebangsaan ke–65 sempena Sambutan Bulan Kebangsaan ini hanya sekali setahun. Saya menyeru semua pelajar, persatuan pelajar, kepimpinan pelajar, entiti Hal Ehwal Pelajar dan Alumni serta warga UPM amnya untuk memeriahkan hiasan kempen Kibarkan Jalur Gemilang di kolej-kolej kediaman, fakulti-fakulti, rumah sewa, kenderaan masing-masing dan kawasan yang mudah dilihat tanpa mengira saiz bendera untuk menzahirkan semangat cintakan tanah air.
MERDEKA. MERDEKA. MERDEKA.
 
Prof. Dr. Arifin Abdu
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM
 

Tarikh Input: 01/09/2022 | Kemaskini: 01/09/2022 | azhar.mahdzir

PERKONGSIAN MEDIA

Bahagian Hal Ehwal Pelajar
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 6075
+603-9769 2091
SXDdIAM~