Putra Munajat: Program Bacaan Yasin & Tahlil Bersama Majlis Perwakilan Pelajar UPM 2019/2020 | Bahagian Hal Ehwal Pelajar
» BERITA » Putra Munajat: Program Bacaan Yasin & Tahlil Bersama Majlis Perwakilan Pelajar UPM 2019/2020

Putra Munajat: Program Bacaan Yasin & Tahlil Bersama Majlis Perwakilan Pelajar UPM 2019/2020

SERDANG, 30 Jan – Majlis Perwakilan Pelajar UPM sesi 2019/2020 dengan kerjasama Majlis Perwakilan Kolej UPM dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM telah mengadakan program bacaan yasin dan tahlil sempena menghadapi peperiksaan akhir. Antara jemputan yang menyertai program ini ialah Prof. Dr. Arifin Abdu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, dan Prof. Madya Dr. Amini Amir Abdullah selaku Pengerusi Jemaah Pengetua Kolej Kediaman UPM. Program ini turut menjemput Ustaz Dr. Mohd Sukki Othman, Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi bagi menyampaikan tazkirah. Saudara Khairul Asyraf telah bertangggungjawab sebagai qari untuk memimpin bacaan yasin dan tahlil pada malam tersebut yang bermula jam 7.45 malam hingga 9.40 malam secara maya menerusi saluran Youtube Live MPP UPM OFFICIAL.

Majlis Putra Munajat ini turut diselitkan dengan perkongsian tip persediaan menghadapi peperiksaan akhir yang boleh diamalkan oleh pelajar seperti sentiasa berdoa, membaca surah Al-Waqiah selepas solat subuh, tidak meninggalkan solat lima waktu dan membuat persediaan yang rapi. Program ini dibahagikan kepada 5 slot iaitu bacaan yasin dan tahlil, doa dan ucapan YDP MPP UPM Alif Akmal, ucapan Pengerusi Jemaah Pengetua Kolej, ucapan YBhg. Prof. Dr. Arifin Abdu dan ceramah daripada Ustaz Dr. Mohd Sukki.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu menegaskan bahawa niat amat penting kepada pelajar dalam melanjutkan pelajaran di Universiti Putra Malaysia kerana ia merupakan jihad untuk diri sendiri, keluarga, universiti, agama, bangsa dan negara. Tambahnya lagi, mahasiswa merupakan pemimpin pada masa hadapan. Beliau juga menyokong penuh program berteraskan kerohanian seperti ini. Tegasnya, pelajar perlu mendapat restu daripada ibu bapa, ahli keluarga dan pensyarah bagi memperoleh keputusan yang cemerlang.

Dr. Amini Amir Abdullah pula memberikan beberapa tip dan nasihat kepada pelajar dalam menghadapi peperiksaan akhir. Antara tipnya ialah belajar bersungguh-sungguh, mempunyai motivasi yang tinggi, membuat persediaan yang cukup dan meminta restu daripada kedua ibu bapa dan pensyarah di samping usaha, doa dan tawakal.

Ceramah yang dikongsi oleh Ustaz Dr. Mohd Sukki bertajuk Persediaan Menghadapi Peperiksaan Akhir memberi penekanan terhadap kaedah yang perlu dilakukan oleh pelajar sebelum menduduki peperiksaan akhir. Beliau juga menyatakan bahawa minat dengan sesuatu pembelajaran dapat membantu pelajar untuk lebih fokus di dalam kelas.

Program ini telah mendapat sambutan yang memberangsangkan dalam kalangan pelajar UPM dan berjaya meraih hampir 850 tontonan.

Tarikh Input: 04/02/2021 | Kemaskini: 04/02/2021 | msahrizan

PERKONGSIAN MEDIA

Bahagian Hal Ehwal Pelajar
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 6075
+603-9769 2091
SXETAAM~