Program “S&S: Sukan & Stres”: Anjuran Pusat Perhubungan Alumni (ARCUPM) | Bahagian Hal Ehwal Pelajar
» BERITA » Program “S&S: Sukan & Stres”: Anjuran Pusat Perhubungan Alumni (ARCUPM)

Program “S&S: Sukan & Stres”: Anjuran Pusat Perhubungan Alumni (ARCUPM)

SERDANG, 8 Februari – Alumni P.K.P (Prihatin. Kolaboratif. Proaktif) Siri ke-28 yang dianjurkan oleh Pusat Perhubungan Alumni (ARCUPM) telah menampilkan individu yang tidak asing lagi dalam dunia sukan iaitu Encik Mohd Azlan Abdul Mubin juga merupakan Penyampai Sukan, Astro Arena (Alumni Kelas 2009). Beliau mengupas tentang perkongsian pengalaman dan kepakaran dalam program ini yang bertajuk “S&S: Sukan & Stres”. Slot ini memberikan penekanan kepada topik stres dan kaitannya dengan sukan serta mendapat sambutan dalam kalangan alumni, pelajar, warga kampus UPM dan komuniti maya. Lebih 240 tontonan secara dalam talian menerusi aplikasi Cisco Webex dan berlangsung pada 3.00 hingga 4.15 petang.

 Menurut beliau, stres atau tekanan merupakan tindak balas fizikal, emosi dan mental seseorang terhadap sebarang perubahan atau tuntutan. Stres ialah normal, bersifat semula jadi dan bukannya penyakit. Selain itu, stres boleh membawa kepada kebimbangan (anxiety) dan jika individu itu gagal mengawalnya, maka keadaan ini akan bertambah buruk sehingga mengundang kepada kemurungan (depression). Kebimbangan merujuk kepada sikap individu yang sentiasa berfikiran negatif dan berlebih-lebihan manakala kemurungan ini melibatkan pengalaman masa lalu yang membuatkan individu itu risau kerana masalah tersebut tidak diselesaikan. Oleh itu, stres jika tidak dikawal boleh membawa kepada kebimbangan dan kemurungan.

 

Beliau juga berkongsi tentang dua jenis stres iaitu eustress (stres yang baik) dan distress (stres yang tidak baik). Eustress ini dikatakan stres yang positif kerana mendorong seseorang untuk bergerak membuat sesuatu sehingga berjaya. Berbeza pula dengan distress iaitu stres yang negatif kerana individu ini enggan menyelesaikan masalah, mencapai sesuatu yang diinginkan dan tiada motivasi diri. 

Beliau turut menambah tentang cara menangani stres iaitu pemakanan sihat, tidur yang cukup, sokongan sosial seperti dari keluarga dan rakan-rakan serta bersukan. Sukan merupakan terapi stres dan aktiviti yang dapat dilakukan ialah berbasikal serta berjogging di kawasan perumahan. Bersenam di dalam rumah juga dapat dilakukan seperti bermain tali skip, aktiviti regang (stretching) dan tabata (senaman berintensiti tinggi berkala yang dibuat secara setempat dan berulang-ulang). Perkaitan sukan dengan terapi stres ini berlaku apabila seseorang itu menggerakkan fizikal tubuh badan mereka, maka sistem kardivaskular dapat berfungsi dengan baik dan secara automatik membantu dalam mengawal stres. Selain itu, beliau menekankan tentang kepentingan komunikasi. Jika dilihat dari segi tuntutan keluarga dan kerjaya, komunikasi merupakan elemen yang sangat penting pada masa kini misalnya, komunikasi dengan pasangan, anak-anak dan persekitaran.

Pada penghujung program ini, Encik Mohd Azlan Abdul Mubin dan Pusat Perhubungan Alumni turut mempromosikan UPM Alumni Golden Fit (Golden Box) iaitu kupon potongan diskaun sebanyak RM5 dan terbuka selama satu jam sahaja selepas program ini tamat. Pendaftaran UPM Alumni Golden Fit bermula pada 5 Februari 2021 hingga 31 Mac 2021.

Tarikh Input: 14/02/2021 | Kemaskini: 14/02/2021 | msahrizan

PERKONGSIAN MEDIA

Bahagian Hal Ehwal Pelajar
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 6075
+603-9769 2091
SXETBAY~