Perkasa Johor UPM Anjur Program Jelajah Pertanian Perkasa | Bahagian Hal Ehwal Pelajar
» BERITA » Perkasa Johor UPM anjur Program Jelajah Pertanian Perkasa

Perkasa Johor UPM anjur Program Jelajah Pertanian Perkasa

 
 
Parit Sulong, 29 Oktober – Persatuan Kebajikan Mahasiswa Johor Universiti Putra Malaysia (Perkasa Johor UPM) dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UPM telah menganjurkan program Jelajah Pertanian Perkasa (JPP) selama dua hari mulai 28 – 29 Oktober 2022. Program ini dijalankan di Kampung Bintang, Simpang Lima, Batu Pahat, Johor dan telah melibatkan seramai 40 orang mahasiswa yang terdiri daripah ahli Perkasa Johor UPM.
 
Program JPP ini dimulakan pada jam 3.00 petang, 28 Oktober, dengan aktiviti gotong-royong bersama penduduk Kampung Bintang dan wakil daripada Southern Volunteers Batu Pahat. Aktiviti yang dijalankan termasuklah mengecat pagar Kompleks Penghulu, meracun rumput sekitar perkarangan Kompleks Penghulu dan pembersihan surau Kg. Bintang. Pada masa yang sama, sekumpulan peserta telah digerakkan ke rumah mahasiswa UPM yang tinggal di sekitar Parit Sulong bagi menyantuni keluarga mahasiswa tersebut dengan menyerahkan ‘Kotak Rezeki Mahasiswa Johor (KRMJ).
 
Pada jam 8.30 malam, 28 Oktober, Program diteruskan dengan Majlis Sambutan Maulidurrasul yang dianjurkan oleh penduduk Kg. Bintang. Para peserta diberi peluang untuk merasai pengalaman makan beramai-ramai menggunakan talam. Melalui aktiviti ini, para peserta dapat mewujudkan kemesraan antara satu sama lain.
 
Seterusnya, pada 29 Oktober, peserta JPP telah berkumpul diperkarangan dewan serbaguna kompleks penghulu Kg. Bintang seawal 7.00 pagi untuk menyambut ketibaan YBM Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi, bagi sesi ramah mesra bersama mahasiswa. Sedikit penjelasan mengenai Projek Pertanian Tanpa Cangkul (PTC) telah dibuat oleh En. Mohd Shukry Yahya kepada YBM dan beliau amat tertarik dengan projek tersebut & berharap agar Projek PTC ini dapat diteruskan.
 
Program diteruskan dengan sesi senamrobik, sukaneka dan slot PTC yang dibentangkan oleh En. Ibrahim Martibi, Pengerusi Kelab Rukun Tetangga (KRT) Kajang. Semua peserta termasuk penduduk kampung amat bersemangat menjayakan aktiviti-aktiviti ini sehingga selesai. Terdapat 3 buah rumah yang menerima tong PTC, manakala baki 2 tong lagi diletakkan di Surau Kg. Bintang untuk manfaat penduduk kampung.
 
Serentak dengan sesi sukaneka, En. Nuruliman Ibrahim, Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM, diiringi pengarah program JPP, Ulfa Hamizah Hishamuddin dan 3 wakil mahasiswa telah pergi menziarah ke dua rumah mahasiswa yang terpilih bagi penyerahan KRMJ.
Program disambung dengan Majlis Perasmian Kotak Rezeki Mahasiswa Johor dan Penutupan Program Jelajah Pertanian Perkasa. Majlis dirasmikan oleh En. Hamdi Mohamed Amin, Pengurus Pembangunan Mahasiswa Yayasan Pelajaran Johor (YPJ). Dalam ucapan perasmian beliau, En. Hamdi telah menyatakan bahawa pihak YPJ telah bersetuju untuk memberikan peruntukan dana sebanyak RM52,000 bagi Projek Kotak Rezeki Mahasiswa Johor. Majlis diakhiri dengan jamuan makan tengah hari dan sesi bergambar.
 
Pada jam 2.30 petang, semua peserta telah bergerak pulang ke kampus menaiki bas dan selamat tiba di kolej masing-masing pada jam 6.30 petang.
Semoga aktiviti-aktiviti yang dijalankan sepanjang program berlangsung dapat memberi manfaat kepada penduduk Kg. Bintang & seluruh mahasiswa yang terlibat.
 
 
 

Tarikh Input: 01/11/2022 | Kemaskini: 01/11/2022 | azhar.mahdzir

PERKONGSIAN MEDIA

Bahagian Hal Ehwal Pelajar
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 6075
+603-9769 2091
SXETPAC~