Majlis Bacaan Yasin Perdana Maya & Doa Munajat Sempena Peperiksaan Akhir | Bahagian Hal Ehwal Pelajar
» BERITA » Majlis Bacaan Yasin Perdana Maya & Doa Munajat Sempena Peperiksaan Akhir

Majlis Bacaan Yasin Perdana Maya & Doa Munajat Sempena Peperiksaan Akhir

 

SERDANG, 4 Februari - Majlis Bacaan Yasin Perdana dan doa munajat secara maya telah dilaksanakan dengan jayanya oleh Majlis Perwakilan Pelajar UPM sesi 2019/2020 dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM sempena menghadapi peperiksaan akhir semester. Program ini telah dikemudi oleh Saudara Aidil Fakri selaku Pengarah Program yang bermula dari jam 8:45 malam hingga 10:30 malam menerusi saluran Facebook live Universiti Putra Malaysia. Antara Tetamu terhormat yang menyertai program ini ialah Y.Bhg. Prof Dr. Ariffin Abdu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM dan Encik Farhan Khairuddin selaku Pengarah Yayasan Sukarelawan Siswa. Majlis ilmu ini turut dihadiri Ustaz Mohd Fauzi dengan menyampaikan tazkirah ringkas dan Ustaz Nuruliman sebagai qari memimpin bacaan Yasin serta doa munajat pada malam tersebut.

Majlis ilmu ini telah dimulakan dengan pemberkatan majlis iaitu bacaan Yasin dan doa, tazkirah khas oleh Ustaz Mohd Fauzi, ucapan pengarah Yayasan Sukarelawan Siswa, ucapan Y.Bhg. TNC HEPA dan persembahan daripada Kumpulan Putra Nahwan Nur.

Perkongsian ilmu dalam majlis ini dipadatkan dengan erti tawakal kepada Allah SWT yang ditegaskan dalam tazkirah Ustaz Mohd Fauzi. Menurut beliau, tawakal merupakan ibadah kepada hati agar kita tidak riak apabila berjaya dan tidak berduka terlalu lama apabila kurang berjaya dalam peperiksaan akhir nanti. Selain itu, berjaya di dunia dan di akhirat terletak kepada keberkatan ilmu yang diperoleh oleh seseorang manusia. Tegasnya, manusia perlu menjaga keberkatan ilmu seperti menghormati pensyarah, ibu bapa, buku-buku dan institusi tempat kita menimba ilmu agar terus mendapat keredaan Allah SWT.

 

Encik Farhan Khairuddin juga turut memberikan beberapa penekanan terhadap pembelajaran norma baharu kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan akhir nanti. Menurut beliau, pelajar pada hari ini ialah insan terpilih untuk meneruskan cabaran pembelajaran alaf baharu pada musim pandemik ini yang menyukarkan pelajar untuk mengakses internet. Tambahnya lagi, pelajar perlu berusaha, berdoa dan bertawakkal kepada Allah SWT agar berjaya mengekalkan kesihatan bagi menghadapi peperiksaan akhir nanti.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Y.Bhg. Prof. Dr. Arifin Abdu menegaskan kepada seluruh warga UPM agar selalu menjaga hubungan dengan Allah SWT dan manusia. Beliau turut menyeru pelajar agar melakukan yang terbaik dalam peperiksaan supaya cemerlang mengharumkan nama negara, bangsa dan ibu bapa. Ucapan beliau turut diselitkan dengan 6 kategori pelajar yang akan diberi kebenaran untuk pulang ke IPTA bagi sesi pembelajaran secara fizikal.

 

Program bacaan Yasin Perdana dan doa munajat ini telah diadakan setiap tahun oleh warga UPM bagi mendapat keberkatan dan keredaan Allah SWT sempena menghadapi peperiksaan akhir. Bezanya majlis tahun ini diadakan secara maya, tetapi ia tetap mendapat sambutan daripada warga UPM dengan tontonan seramai 700 tontonan. Majlis berakhir dengan persembahan penutup daripada kumpulan nasyid UPM iaitu Putra Nahwan Nur dengan lagu yang bertajuk Dusta Ibu.

 

 

Tarikh Input: 08/02/2021 | Kemaskini: 11/02/2021 | msahrizan

PERKONGSIAN MEDIA

Bahagian Hal Ehwal Pelajar
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 6075
+603-9769 2091
SXDdFA0~