Majlis Anugerah Seni MAKUM Antara Universiti Awam Sesi 2020/2021 | Bahagian Hal Ehwal Pelajar
» BERITA » Majlis Anugerah Seni MAKUM antara Universiti Awam Sesi 2020/2021

Majlis Anugerah Seni MAKUM antara Universiti Awam Sesi 2020/2021

16 November 2021 - Setinggi-tinggi ucapan tahniah dan syabas kepada semua penerima anugerah sempena Majlis Anugerah Seni MAKUM antara Universiti Awam Sesi 2020/2021.
Majlis yang diadakan secara dalam talian ini merupakan kejayaan terbesar anjuran bersama Majlis Kebudayaan Universiti Universiti Malaysia MAKUM dan Bahagian Mahasiswa Holistik Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia yang dikelolakan oleh Universiti Utara Malaysia selaku Sekretariat MAKUM sesi 2020/2021.
 
  
 
Sebanyak 20 buah Universiti Awam seluruh Malaysia telah mengambil bahagian dalam program-program dan aktiviti dalam bidang kebudayaan dan kesenian sepanjang tahun 2020 sehingga 2021. Sebanyak 12 anugerah telah direalisasikan merangkumi pertandingan, penghargaan dan cenderamata kepada individu penggiat seni, institusi mahupun agensi yang telah banyak menunjukkan pencapaian dan sumbangan bakti kepada bidang ini yang secara langsung menaikkan martabat warisan seni budaya kebangsaan ke peringkat yang lebih tinggi sekaligus menaikkan nama MAKUM ke persada dunia.
 
  
 
Universiti Putra Malaysia pada majlis kali ini meraih beberapa anugerah menerusi Anugerah Gong Kencana Emas (Anugerah keseluruhan pencapaian dan penganjuran aktiviti kesenian kebudayaan terbaik di peringkat universiti dan MAKUM), Kelab/Persatuan Terbaik (Kategori Pengurusan Seni) dimenangi oleh Kelab Pantun dan Puisi Cenderawasih menerusi Anugerah Gambang Mustika, sementara Kelab/Persatuan Terbaik (Kategori Bakat Seni) dimenangi oleh Persatuan Mahasiswa Sabah PERMASA.
 
 
Bagi kategori individu pula, Anugerah Bonang Emas Lelaki jatuh kepada Saudara Oween Ordine dan Anugerah Bonang Emas Wanita dimenangi oleh Saudari Nuruljannah Md Nasir. Sementara untuk anugerah penghargaan telah diberikan kepada dua orang Pegawai MAKUM Tetap iaitu Encik Adidi Tamin (BHEP) dan Encik Husalshah Rizal Hussian (PKKSSAAS) menerusi Anugerah Gendang Sari MAKUM, manakala dua orang staf kebudayaan iaitu Encik Kamaruladha Jalaluddin dan Puan Noormah Ismaon menerima Anugerah Lambang Sari MAKUM.
 
 
YBhg. Prof. Dr. Arifin bin Abdu turut menyampaikan ucapan alu-aluan dan penghargaan sebagai simbolik bakal Pengerusi MAKUM akan datang iaitu pada sesi 2022/2023. Beliau menyampaikan hasrat agar kerjasama baik ini dapat diteruskan bagi mengembeling tenaga mempergiat uruskan sekretariat MAKUM ke arah kecemerlangan yang berterusan.
Majlis ini turut dimeriahkan lagi dengan persembahan Tarian Dilema Teruna daripada Kelab Senitari Adimastuli UPM dan Kelab Nasyid Nahwan Nur UPM dengan persembahan Vokal Ensamble bertajuk Infinity.
 
Tahniah diucapkan!

Tarikh Input: 18/11/2021 | Kemaskini: 18/11/2021 | azhar.mahdzir

PERKONGSIAN MEDIA

Bahagian Hal Ehwal Pelajar
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 6075
+603-9769 2091
SXDdRAM~