IPT Pertama Guna Aplikasi Sendiri Untuk Pilihan Raya Kampus | Bahagian Hal Ehwal Pelajar
» BERITA » IPT Pertama Guna Aplikasi Sendiri Untuk Pilihan Raya Kampus

IPT Pertama Guna Aplikasi Sendiri Untuk Pilihan Raya Kampus

SERDANG: Universiti Putra Malaysia (UPM) menjadi institusi pengajian tinggi (IPT) pertama membangunkan aplikasi mudah alih sendiri bagi melaksanakan pilihan raya kampus.

 

Dikenali sebagai Putra®Voting, aplikasi berasaskan persekitaran telefon pintar itu dilengkapi dengan sistem kawalan pengenalan identiti, UPMID dan boleh dicapai oleh pengguna melalui Android dan iOS.

 

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Profesor Dr. Arifin Abdu berkata, pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) pada kali ini terpaksa diadakan secara aplikasi mudah alih kerana tidak semua pelajar berada di kampus berikutan pandemik Covid-19, selain arahan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh Kementerian Pengajian Tinggi.

“Melalui aplikasi Putra®Voting, pelajar tidak perlu lagi melaksanakan pengundian di kampus, sebaliknya mereka boleh mengundi di mana-mana menggunakan telefon pintar masing-masing pada bila-bila masa.

 

“Ternyata kaedah ‘semuanya hanya di hujung jari’ boleh direalisasikan dengan memanfaatkan teknologi jalur lebar, aplikasi dan peranti pintar,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. 

 

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UPM, Profesor Datuk Dr. Zulkifli Idrus memberitahu, pelaksanaan pendigitilan kampus merupakan satu anjakan besar yang memberi cabaran baharu kepada universiti itu. Menurutnya, UPM perlu sentiasa peka dan bersedia melakukan perubahan seiring transformasi digital untuk kekal berdaya saing. “UPM amat berbangga kerana merupakan IPT pertama yang melaksanakan pengundian MPP secara aplikasi mudah alih,” ujarnya.

Tarikh Input: 30/04/2021 | Kemaskini: 30/04/2021 | adidi

PERKONGSIAN MEDIA

Bahagian Hal Ehwal Pelajar
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 6075
+603-9769 2091
SXDdOAf~