‘Green Campus’ Dilestarikan Ke UPM Kampus Bintulu | Bahagian Hal Ehwal Pelajar
» BERITA » ‘Green Campus’ Dilestarikan ke UPM Kampus Bintulu

‘Green Campus’ Dilestarikan ke UPM Kampus Bintulu

Serdang, 20 Januari 2019 – Universiti Putra Malaysia (UPM) terus memperkasakan konsep kelestarian hijau dalam kehidupan kampus siswa-siswinya dengan penyerahan sebanyak 40 unit Electric Pedal Asissted Bicycle (EPAB) atau e-bike buatan Voltron ke UPM Kampus Bintulu, hari ini.

Perasmian penyerahan e-bike berkenaan disempurnakan oleh Y.Bhg. Profesor Dr. Mohd. Roslan Sulaiman, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Putra Malaysia (UPM) pada program Green @UPMKB yang berlangsung di UPM Kampus Bintulu selama dua hari berturut-turut. Program ini turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan dari pelajar tempatan dan antarabangsa UPM Kampus Serdang dan Kampus Bintulu, Sarawak.

Penyerahan e-bike ini bertepatan dengan inisiatif ke arah meningkatkan potensi UPM sebagai ‘universiti hijau’ ke tahap yang lebih tinggi. Pendedahan yang diberikan kepada warga kampus terhadap pengangkutan elektrik dapat membentuk minda dan memberi kesedaran untuk terus menyokong dan memperkukuhkan aspirasi kampus hijau UPM dengan mengurangkan pelepasan karbon di dalam kampus dan menyediakan pengangkutan mesra alam. Basikal ini boleh dipajak, disewa beli atau dijual kepada para pelajar mengikut kesesuaian pelan perniagaan masing-masing. Ini secara tidak langsung dapat membantu pelajar untuk meningkatkan pengalaman dan kemahiran dalam bidang perniagaan. Warga kampus yang berminat juga boleh membeli basikal ini secara tunai.

Pada program ini juga, acara penanaman pokok di sekitar kawasan kampus Bintulu serta aktiviti plogging di bandar Bintulu turut diadakan dengan penyertaan pelajar tempatan dan antarabangsa dari UPM Kampus Serdang dan Kampus Bintulu, Sarawak. Pelaksanaan kedua-dua aktiviti ini jelas menunjukkan komitmen UPM khususnya Kampus Bintulu ke arah memperkasakan konsep ‘universiti hijau’ bukan sahaja kepada warga kampus, tetapi juga kepada warga Bintulu amnya 

 

Oleh : Azlan Ibrahim

 

Tarikh Input: 24/01/2019 | Kemaskini: 27/01/2019 | mohd.hasrul

PERKONGSIAN MEDIA

Bahagian Hal Ehwal Pelajar
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 6075
+603-9769 2091
SXDdTA3~