[27/04/2020] COVID-19 : 102 ORANG PELAJAR UPM DIHANTAR PULANG KE KAMPUNG HALAMAN | Bahagian Hal Ehwal Pelajar
» BERITA » [27/04/2020] COVID-19 : 102 ORANG PELAJAR UPM DIHANTAR PULANG KE KAMPUNG HALAMAN

[27/04/2020] COVID-19 : 102 ORANG PELAJAR UPM DIHANTAR PULANG KE KAMPUNG HALAMAN

 

27 April 2020, UPM Serdang – Seramai 102 orang pelajar UPM berjaya dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing setelah kerajaan mengumumkan kebenaran berbuat demikian pada 24 April 2020 yang lalu. Kementerian Pengajian Tinggi juga menyambut baik tindakan kerajaan untuk menghantar pulang semua pelajar IPT yang terkandas di kampus sejak PKP Fasa 1. Berikutan dengan pengumuman tersebut, UPM mengambil langkah agresif untuk menguruskan semua pelajar yang ingin pulang ke kampung mengambil kira sambutan ramadan dan hari lebaran yang bakal menjelang tidak lama lagi. UPM turut bekerjasama dengan pihak PDRM, KPT, MKN dan KKM dalam usaha menguruskan pergerakan pelajar pulang ke kampung masing-masing mengikut prosedur dan arahan yang telah ditetapkan.

Proses penghantaran pulang pelajar UPM ini dimulakan dengan Fasa 1 iaitu bagi pelajar yang berasal dari negeri-negeri di sebelah utara iaitu di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis. Kawasan yang telah diisytiharkan sebagai Zon Hijau Covid-19 sahaja dibenarkan untuk Fasa 1 ini. Pelajar-pelajar tersebut telah dikumpulkan di Kolej Pendeta Za’ba dan mula bergerak tepat jam 9.00 malam. Enam (6) buah bas digunakan untuk meghantar pelajar-pelajar berkaitan ke lokasi yang telah ditetapkan. Setiap bas akan dinaiki oleh 20 orang maksimum termasuk 2 orang pemandu dan seorang Felo Pengiring (LO). 102 orang pelajar UPM telah dibahagikan kepada beberapa lokasi pergerakan di mana 68 orang bergerak dari UPM dan 34 orang selebihnya dihantar secara transit ke IPT terpilih sebelum bergerak ke kampung masing-masing. UPM juga telah menerima 18 orang pelajar IPT di sekitar lembah klang untuk diuruskan pergerakan pulang ke kampung halaman dari UPM.

Bagi memastikan keselamatan pelajar semasa perjalanan, Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama MKN dan KKM telah mengeluarkan Standard Operational Procedure (SOP) Pergerakan Pulang Pelajar untuk dipatuhi oleh setiap IPT supaya langkah-langkah keselamatan diambil serius dalam memerangi wabak Covid-19. Walaupun setiap pelajar yang berada di kampus boleh dikatakan bersih dari wabak ini, namun langkah pencegahan perlu diperketatkan supaya penularan wabak dapat dikawal sebaiknya.

 

Sayu meninggalkan kampus tercinta, itulah antara respon para pelajar yang dihantar pulang ke pangkuan keluarga, walaupun berasa sedih meninggalkan jauh kampung halaman selama ini, namun perasaan hiba meninggalkan rakan taulan yang telah bersama-sama mengharungi cabaran PKP di kampus, selama lebih sebulan bakal menjadi kenangan terindah yang tidak pernah dibayangkan. Berbekalkan makanan yang disediakan setiap hari, tambahan dengan barangan keperluan harian yang ditaja adalah antara perkara yang sukar untuk dilupakan oleh semua pelajar. Walaupun berjauhan dengan keluarga, rakan-rakanlah menjadi tempat mengadu di samping barisan hadapan yang terdiri daripada TNC HEPA, Pengetua, Felo Kolej Kediaman, Staf dan Kakitangan UPM yang sentiasa bertungkus lumus memberikan yang terbaik kepada semua pelajar. Justeru itu, peluang untuk pulang ke kampung ini diambil dengan sebaik-baiknya oleh setiap pelajar di samping menzahirkan rasa setinggi-tinggi penghargaan yang tidak terhingga kepada barisan hadapan UPM dalam menangangi isu Covid-19 ini.





Ditulis Oleh ;

Adidi bin Tamin
Pegawai Kebudayaan
Seksyen Pengurusan Aktiviti Pelajar, BHEP

Tarikh Input: 28/04/2020 | Kemaskini: 05/08/2020 | mshahrul

PERKONGSIAN MEDIA

Bahagian Hal Ehwal Pelajar
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 6075
+603-9769 2091
SXEZTAk~