[11/06/2020] Bicara Inspirasi Siri 1: Aksesibiliti, Inklusiviti Dan Kualiti OKU Di UPM | Bahagian Hal Ehwal Pelajar
» BERITA » [11/06/2020] Bicara Inspirasi Siri 1: Aksesibiliti, Inklusiviti Dan Kualiti OKU Di UPM

[11/06/2020] Bicara Inspirasi Siri 1: Aksesibiliti, Inklusiviti Dan Kualiti OKU Di UPM

UPM SERDANG, 11 Jun 2020 - Satu program bual bicara telah diadakan secara dalam talian yang dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar melalui Unit Perkhidmatan dan Sokongan OKU UPM (UPSO). Siri 1 program berkenaan dimulakan dengan menampilkan saudari Marlinah Muslim dari UPSO, Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM sebagai moderator serta ahli-ahli panel dalam kalangan pelajar OKU UPM, alumni OKU UPM dan penyelaras Unit Perkhidmatan dan Sokongan OKU (UPSO).

Menurut ahli panel yang pertama, Dr. Wan Arnidawati Wan Abdullah, Penyelaras UPSO yang juga Pensyarah kanan di Fakulti Ekologi Manusia UPM, UPM haruslah menyediakan akses yang sesuai mengikut keperluan kepada pelbagai jenis OKU memandangkan trend peningkatan kemasukan pelajar OKU di kampus Serdang dan Bintulu agar suasana inklusiviti dapat diwujudkan dengan lebih baik walau tidak dapat dinafikan UPM telah pun menyediakan perkhidmatan sokongan buat pelajar OKU di UPM sejak sekian lama.

Melalui perkongsian Nurul Najwa Khairunnisa Hassim, salah seorang alumni UPM yang juga OKU penglihatan (Buta), UPM cuba memberi yang terbaik kepadanya termasuklah kakitangan UPM yang sentiasa membantu sepanjang berada di alma mater walaupun baginya aksesibiliti UPM kepada OKU penglihatan masih kurang. Menurut Najwa lagi, beliau merupakan OKU penglihatan pertama di UPM pada masa itu.

Melalui perkongsian Hussain Said, seorang OKU fizikal berkerusi roda, seorang pelajar pasca-siswazah di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, sokongan dan bantuan orang sekeliling membuatnya cekal berada di UPM sejak pra-siswazah lagi. Menurut Hussain lagi,Van mobiliti OKU adalah salah satu kemudahan yang amat membantunya sepanjang pengajian selain kemudahan yang sentiasa ditambahbaik.

Bagi Mohamad Ridzuan Zakaria, pelajar tahun akhir Bachelor Sastera Bahasa dan Linguistik Melayu yang juga OKU Pembelajaran, akses fasiliti tiada masalah baginya tetapi berdepan cabaran dari sudut penerimaan sosial. OKU pembelajaran adalah kategori yang tidak dapat dilihat secara mata kasar dan mewujudkan konflik dalam diri buatnya. Antara inisiatif yang dilakukan Ridzuan adalah dengan memberi makluman awal kepada pensyarah bahawa dia adalah OKU penbelajaran yang memerlukan lebih masa untuk memahami dan menjawab soalan peperiksaan.

Kesimpulannya, UPM telah menyediakan akses kepada pelajar OKU sebelum ini tetapi penambahbaikan perkhidmatan adalah perlu ditambah baik dari semasa ke semasa bagi melahirkan graduan OKU yang berkualiti serta suasana yang lebih inklusif OKU. Selain kakitangan pentadbiran hal ehwal pelajar, kakitangan akademik juga perlu peka kepada keperluan pelajar OKU terutama OKU yang tidak nampak dari mata kasar seperti OKU pembelajaran.

Semoga Bicara Inspirasi Siri 1 ini membuka mata semua bahawa kita telah pun bergerak ke hadapan ke arah masyarakat yang lebih sejahtera serta cakna OKU. Bagi yang terlepas peluang untuk menonton secara Live boleh menonton ulang siar video yang telah pun mencapai tontonan lebih dari 1000 penonton di Facebook Bahagian Hal Ehwal Pelajar, UPM 

 https://www.facebook.com/BHEPUPM/videos/212414366401534/  

Tarikh Input: 06/07/2020 | Kemaskini: 05/08/2020 | mshahrul

PERKONGSIAN MEDIA

Bahagian Hal Ehwal Pelajar
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 6075
+603-9769 2091
SXDdRAs~