[23/06/2020] Pengambilan Barang Dan Kenderaan Pelajar Berjalan Lancar | Bahagian Hal Ehwal Pelajar
» BERITA » [23/06/2020] Pengambilan Barang Dan Kenderaan Pelajar Berjalan Lancar

[23/06/2020] Pengambilan Barang Dan Kenderaan Pelajar Berjalan Lancar

23 Jun 2020, UPM Serdang – Selaras dengan pengumuman oleh YAB Perdana Menteri Malaysia berhubung tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkuatkuasa 10 Jun 2020, seramai 6,215 orang pelajar dibenarkan untuk mengambil barang dan kenderaan di dalam kampus bermula 15 hingga 19 Jun 2020. Pelaksanaan proses ini diuruskan oleh Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dengan kerjasama Bahagian Keselamatan UPM serta diperkuatkan dengan bantuan oleh 25 orang ahli Majlis Perwakilan Pelajar UPM. Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Y. Bhg. Profesor Dr. Mohd. Roslan bin Sulaiman sendiri turun padang bagi bersama-sama memastikan kelancaran pergerakan pelajar dari mula sehingga selesai proses pengambilan barang dan kenderaan ini. Bagi memudahkan pergerakan, pihak Bahagian Hal Ehwal Pelajar menyediakan kenderaan pelbagai guna (MPV) dan bas dari lokasi parkir utama di Padang Kawad UPM untuk kegunaan pelajar ke kolej kediaman pelajar masing-masing.

Tujuan utama proses ini adalah untuk memastikan pelajar dapat meneruskan aktiviti pembelajaran semasa berada di kampung halaman masing-masing. Di samping itu, pelajar juga dapat mengambil semula kenderaan mereka yang ditinggalkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula 18 Mac 2020. Pelaksanaan proses pengambilan barang dan kenderaan sepanjang tempoh ini adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan oleh Kerajaan.

Pelajar yang terlibat menzahirkan penghargaan dan berterima kasih kepada pihak UPM khususnya Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) serta pimpinan Majlis Perwakilan Pelajar atas keprihatinan serta bantuan sepanjang proses pengambilan barang dan kenderaan ini berlangsung.

 

Ditulis oleh :Mohamed Shukri bin Mohamed Noor

Tarikh Input: 30/06/2020 | Kemaskini: 05/08/2020 | mshahrul

PERKONGSIAN MEDIA

Bahagian Hal Ehwal Pelajar
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 6075
+603-9769 2091
SXDdPAr~