Keseronokan Kongsi Keunikan, Kehebatan Anak Di Media Sosial Boleh Undang Padah | Student Affairs Division hep
» ARTICLE » Keseronokan kongsi keunikan, kehebatan anak di media sosial boleh undang padah

Keseronokan kongsi keunikan, kehebatan anak di media sosial boleh undang padah

Kuala Lumpur: Keseronokan berkongsi keunikan dan kehebatan anak-anak di media sosial boleh mengundang perkara tidak diingini apabila ia menjadi tatapan orang ramai.

Pakar Sosial Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, gambar atau video anak-anak yang dimuat naik di media sosial membolehkan ia ditonton oleh semua orang di seluruh dunia.

"Memang sudah menjadi tabiat semula jadi manusia berasa seronok untuk berkongsi perkara dimiliki dengan orang lain termasuk keunikan atau kehebatan anak atau cucu mereka.

"Dua tujuan utama kenapa seseorang suka berkongsi keseronokan kepada masyarakat iaitu mengharapkan ia mendapat inspirasi daripada keunikan atau kehebatan anak atau cucu mereka serta dahagakan pujian.

"Dalam keadaan ini, kita perlu berhati-hati kerana gambar mahupun video anak-anak yang dimuat naik di media sosial akan berlegar-legar bukan sahaja dalam kalangan orang rapat tetapi juga seluruh dunia," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohammad Shatar yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) berkata, ramai pihak mungkin tidak pernah terfikir bahawa perbuatan mereka memuat naik gambar atau video anak-anak boleh mengundang risiko dari segi keselamatan.

"Mungkin apa yang kita muat turun itu mengundang persepsi berbeza kepada orang lain yang boleh mengundang perkara tidak diingini apabila terlalu banyak maklumat didedahkan di media sosial seperti kes penculikan.

"Selain itu, perbezaan pendapat juga boleh mengakibatkan perbalahan di media sosial apabila maklum balas diperoleh daripada orang lain tidak seperti yang dijangka," katanya.

Justeru, beliau menasihatkan supaya orang ramai berwaspada dalam apa jua kandungan yang dimuat naik di media sosial bagi mengelak mendatangkan perkara buruk kepada diri sendiri dan ahli keluarga.

"Jika dilihat dari segi peruntukan undang-undang ketika ini, secara umumnya memang ia tidak menjadi satu kesalahan untuk memuat naik gambar atau video anak-anak di media sosial.

"Namun, perkara itu harus ditapis dan elakkan berkongsi gambar atau video mereka kepada umum.

"Cukup kita kongsikan kepada individu rapat sahaja bagi mengelak ia mengundang perkara tidak diingini," katanya.

 

Sumber: Metro Online

Date of Input: 13/11/2024 | Updated: 28/05/2025 | azhar.mahdzir

MEDIA SHARING

Student Affairs Division
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 6075
+603-9769 2091
X, (06:04:31pm-06:09:31pm, 10 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]