BHEP Dalam Perancangan Menaiktaraf Kemudahan Pelajar Di Kompleks Mahasiswa Dan Bangunan Astaka Seni | Student Affairs Division
» ARTICLE » BHEP Dalam Perancangan Menaiktaraf Kemudahan Pelajar Di Kompleks Mahasiswa Dan Bangunan Astaka Seni

BHEP Dalam Perancangan Menaiktaraf Kemudahan Pelajar Di Kompleks Mahasiswa Dan Bangunan Astaka Seni

Kokurikulum tidak berkreadit merupakan salah satu elemen penting di dalam pembinaan sahsiah pelajar. Sejak sekian lama universiti telah berusaha untuk memantapkan kualiti pelajar bukan sahaja di dalam bidang akademik, malahan di dalam aktiviti kokurikulum tidak berkreadit bersesuaian dengan pelan strategiK Universiti Putra Malaysia dalam melahirkan graduan yang kental masa hadapan, berkualiti dan berdaya saing serta berupaya untuk terus maju melalui pembelajaran yang berterusan.

Bahagian Hal Ehwal Pelajar berfungsi menggalakkan, menyelaras dan merancang aktiviti pelajar melalui Kelab/Persatuan yang berdaftar merangkumi pelbagai komponen antaranya MPP, Kebudayaan, Sukan dan Rekreasi, Seni Mempertahankan Diri, Pengucapan Awam, Kebajikan, Fakulti dan Kolej Kediaman.

Sehingga kini, sebanyak lebih kurang 109 buah Kelab/Persatuan dan MPP di bawah penyeliaan dan penyelarasan Bahagian Hal Ehwal Pelajar. Aktiviti-aktiviti yang dirancang oleh Kelab/Persatuan dan MPP ini diadakan di seluruh kampus UPM. Segala pergerakan dan aktiviti mereka ini diselaras dan dipantau oleh BHEP dan juga Kolej Kediaman serta Fakulti.

Dalam usaha memantapkan dan meningkatkan kualiti aktiviti Kelab/Persatuan dan MPP, ruang/kawasan untuk kemudahan pelajar-pelajar yang komited untuk melaksanakan program merupakan antara cabaran utama mereka. Mereka bukan sahaja perlu bijak mengurus masa pembelajaran dan pengajaran bahkan mereka juga perlu mengurus aktiviti kokurikulum yang dirancang dan sering menghadapi cabaran untuk mendapatkan tempat/ruang/kawasan/bilik yang terhad untuk melaksanakan aktiviti serta mempertingkatkan kualiti pengurusan yang cemerlang.

Justeru itu, pihak BHEP mengambil initiatif penting ini untuk menaiktaraf bangunan Kompleks Mahasiswa dan Astaka Seni untuk dijadikan satu ruang/tempat/kawasan yang lebih kondusif dan lengkap bagi kegunaan semua pelajar yang bergiat aktif dalam aktiviti kokurikulum tidak berkreadit supaya dapat mewujudkan suasana yang lebih selesa dan mencukupi sekaligus dapat meningkatkan kualiti penganjuran program pelajar pada masa akan datang.

YBhg. Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM turut turun ke padang melawat kawasan di Kompleks Mahasiswa untuk melihat sendiri fasiliti yang selama ini disediakan kepada pelajar. Pelbagai idea dan perancangan menaiktaraf fasiliti di sini bakal dilakukan yang pastinya memberi seribu harapan kepada setiap pelajar yang aktif yang selama ini ditunggu-tunggu. Selain YBhg. Prof TNC, pihak pengurusan di bawah Pejabat Timbalan Naib Canselor (HEPA) UPM juga turut sama dalam rombongan ini. Yang DiPertua Majlis Perwakilan Pelajar Saudara Alif Akmal Bin Omar menzahirkan rasa terharu dan berpuas hati dengan pihak pengurusan HEPA di atas sokongan dan komitmen padu untuk memberikan yang terbaik kepada semua pelajar. Ujar beliau ketika simbolik penyerahan kunci Pejabat Kesatuan Pelajar yang disampaikan oleh YBhg. Prof. TNC HEPA.

Sudah pastinya, proses naiktaraf akan lebih mudah jika mendapat sokongan daripada pelbagai pihak. Sama-sama doakan agar hasrat BHEP dalam memenuhi kehendak dan kebajikan pelajar UPM dapat direalisasikan dengan secepat mungkin.

Date of Input: 06/07/2020 | Updated: 06/07/2020 | mshahrul

MEDIA SHARING

Student Affairs Division
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603-9769 6075
+603-9769 2091
C1596470136